Sunday, October 4, 2009

PERDANA MENTERI KE 4

0 comments




Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Tulisan Jawi: محضير بن محمد, dilahirkan pada 20 Disember 1925; juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det) adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui pemeliharaan suatu golongan pertengahan orang Melayu. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang suka berterus-terang dan bersifat kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asiakapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).

Dr Mahathir telah dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC).

Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Pada Jun 2005, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara.

Latar Belakang

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Tulisan Jawi: محضير بن محمد); juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det) dilahirkan pada 20 Disember 1925 adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui peningkatan golongan miskin menjadi golongan pertengahan orang Melayu begitu ketara. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan tidak dapat lari dituduh bersifat kronisme seperti pemerintah-pemerintah lain didunia.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik penting antarabangsa yang suka berterus-terang dan disifatkan kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).

Dr Mahathir telah bertanggungjawab dengan apa yang dipanggil pembangunan projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC), yang akhirnya menjadi lambang kemegahan rakyat dan diterima ramai.

Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Seperti dijangka pada Oct 2003, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia atas jasanya yang teramat besar pada nusa dan bangsa. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara.

Pendidikan

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES), kini Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1932. Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge) di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.

Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

Kerjaya dan Keluarga

Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali pada 5 Ogos, 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak beliau ialah :

Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Star yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.

Kerjaya politik

Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.

Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.

Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya.

Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada tahun 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.

Kesihatan

Pada 24 Januari 1989 Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), Kuala Lumpur.

Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana serangan jantung setelah saluran darah arteri tersumbat.

Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Langkawi selepas kesukaran bernafas pada jam 4.00 petang.

Pada 4 September 2007, Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN selama 5 jam. Pembedahan diketuai pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathooth, Datuk Dr. Azahari Yakub, Datuk Dr. Venugopal Balchand, Datuk Ezani Mohd. Taib dan Ketua Pakar Bedah Kardiologi Klinik Mayo di California, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Hartzell Schaff. Ini merupakan pembedahan saluran darah arteri kali ke-2.

Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN jam 7.00 pm. Ketika ini beliau berusia 82 tahun.[1]

Kontroversi

Krisis perlembagaan

Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada dibawah bidang kuasa mereka.

Pada tahun 1988, apabila UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung, Mahathir dipercayai merencanakan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan tiga orang lagi hakim Mahkamah Agung yang cuba untuk menghalang kes tersebut. Siri insiden 1988 ini dilihat sebagai titik hitam sejarah perundangan negara Malaysia yang sepatutnya bebas dari campur tangan pihak eksekutif.Mahathir selaku ketua badan eksekutif telah mencampuri urusan badan kehakiman ketika itu.

Pemecatan Anwar Ibrahim

Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar sebenarnya korupsi dan nepotisme dan cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.

Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai "Gerakan Reformasi" dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walaubagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti-parti pembangkang di Malaysia.

Keluar UMNO

Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO[2]. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Dr Mahathir mendakwa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya (menantunya Khairy adalah Naib Ketua Pemuda UMNO) sehingga membelakangkan negara. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.

Pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Dr Mahathir dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO[3].

Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam berkata 'duri dalam daging sudahpun terkeluar' dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu[4].

Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr.Mahathir bersama-sama isterinya,Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula. Upacara tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya. Bertitik tolak kemasukan inilah UMNO menjadi kuat semula dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang diterajui UMNO semakin dipulihkan.

Untuk rekod, bekas presiden-presiden UMNO terdahulu meninggal dunia selepas melepaskan jawatan presiden di dalam parti UMNO kecuali Tun Abdul Razak, yang meninggal ketika masih menjawat jawatan tersebut.[5]. Dato' Onn Jaafar keluar dari UMNO apabila cadangan beliau untuk menjadikan UMNO parti berbilang bangsa tidak dipersetujui. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pula meninggal dunia selepas melepaskan jawatan di dalam parti UMNO kerana berselisih pendapat dengan Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama lebih 22 tahun.

Penulisan Blog

Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1:27 AM, dengan penulisan beliau "The Appointment of Judges". Pada 19 Jun, blog beliau telah berpindah ke laman baru yang lebih dipercayai dan selamat simpanannya.[6]

Kini blog beliau terletak di http://www.chedet.cc/.

Garis masa


PERDANA MENTERI KE 5

0 comments




Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan bekas Presiden UMNO ke-6, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).[1]

Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Biodata peribadi

Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Beliau pada mulanya ingin belajar Ekonomi di Universiti, namun setelah gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak dibenarkan melanjutkan kursus kepujian dalam bidang ekonomi dan memilih untuk belajar Pengajian Islam[2]. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.

Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.

Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun menduda, beliau berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.

Beliau dikatakan mementingkan menikmati makan malam bersama keluarga dan gemar makanan Jepun. Sebagai seseorang yang dibesarkan di Pulau Pinang, beliau amat gemar mencuba pelbagai jenis makanan. [3]

Setiap hari, selepas sembahyang Maghrib, beliau akan mengaji Al-Quran. Adalah menjadi kebiasaan beliau menulis nota dalam Jawi. Karangan Shakespeare kegemaran beliau ialah ‘Julius Caesar’. Selain dari keluarga sendiri, tokoh yang banyak mempengaruhinya, yang beliau anggap sebagai mentor ialah Tun Abdul Razak.

Antara peristiwa dunia yang meninggalkan kesan yang mendalam pada diri beliau ialah peristiwa 9/11, yang telah mendorong beliau untuk memperjuangkan fahaman Islam yang sederhana. Beliau juga adalah pencetus Islam Hadhari[1].

Beliau juga sangat berminat dengan kereta. Malangnya beliau tidak banyak berpeluang memandu kereta sendiri atas sebab-sebab keselamatan. Untuk menghilangkan lelah bekerja, beliau mungkin bermain golf, melakukan senaman yoga atau meluangkan masa bersama cucu-cucunya. Abdullah juga gemarkan pertunjukan muzikal – ‘My Fair Lady’ antara yang paling diminatinya – serta seniman klasik seperti Nat King Cole. Beliau juga mempunyai alat iPod Nano. Beliau menghargai hasil seni Malaysia, dan merupakan seorang pengumpul seni ukiran kayu, serta anyaman rotan.

Kerjaya dan politik

Menyertai UMNO

Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.

Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.

Abdullah dikembalikan jawatannya dalam kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau pernah menjawat jawatan:

  • Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80)
  • Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81)
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84)
  • Menteri Pelajaran (1984-86)
  • Menteri Pertahanan (1986-87)
  • Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 - Januari 1999).

Sebagai Timbalan Perdana Menteri

Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman Kitab Iban.

Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Sebagai Perdana Menteri

Abdullah Badawi dengan George W. Bush

Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.

Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia. Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.

Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam. Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.

Pasca Perdana Menteri

Selepas melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden UMNO, beliau berehat sebentar di luar negara dan pada 1 September 2009, beliau dilantik menjadi pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM).

Sebagai Presiden Barisan Nasional

Apabila Tun Dr. Mahathir berundur dari arena politik, beliau telah menggantikan beliau sebagai pucuk pimpinan parti pemerintah, Barisan Nasional.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parlimen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari penjara, bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, memuji Abdullah di khalayak ramai kerana tidak campur tangan sewaktu mahkamah mengubah keputusan tentang sabitan liwatnya.

Selepas kecemerlangan besar dalam penggal pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia apabila menyapu banyak kerusi pada Pilihanraya Umum Malaysia 2004, beliau menerima tamparan dan ujian hebat apabila Barisan Nasional yang diketuainya pada Pilihan raya umum Malaysia 2008 telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan kuasa pemerintahan di 4 buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak kepada parti pembangkang serta sekali lagi gagal merampas balik kuasa di Kelantan dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008. Oleh ini, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad berpendapat bahawa Abdullah harus mempertimbangkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah kegagalan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya tersebut. [2]

Melepaskan jawatan Perdana Menteri

Abdullah tidak menawarkan diri untuk menjadi calon Presiden pada pemilihan Agung UMNO pada 2009. Ini kerana beliau ingin menyerahkan jawatan tersebut kepada pengganti beliau sebagai Presiden UMNO sekaligus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6.

Modal Insan sentiasa mendapat tempat di hati Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini kerana beliau percaya modal insan merupakan aset terpenting untuk memacu negara ke hadapan. Selain itu pemahaman Islam Hadhari juga menyumbangkan kepada pembangunan modal insan ini. Itulah legasi Abdullah kepada Malaysia selepas mengundurkan diri sebagai pemimpin No. 1 negara. Oleh itu, beliau telah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

Kontroversi

Setelah gerakan untuk menuduh orang-orang kenamaan seperti Eric Chia dan Isa Abdul Samad dengan rasuah, usaha pentadbiran Abdullah untuk membanteras rasuah dikatakan menjadi kurang jelas. Masih dibahaskan sama ada Abdullah masih terus melawan rasuah secara diam-diam ataupun dia telah sengaja melambatkan usaha dalam menghapuskan rasuah.

Walaupun Abdullah mengatakan bahawa dia mengalu-alukan pandangan atau kritikan yang membantu memperbaiki pentadbirannya, dia telah memberi amaran kepada Mukhriz Mahathir yang mengkritik dasar ekonominya pada Mesyuarat Agong UMNO 2006. [4] Kerajaannya juga cuba mengawal sumber-sumber "bawah tanah" seperti laman web, forum dan blog, menganggap mereka yang menyebarkan maklumat secara maya sebagai "tidak punya kredibiliti". [5] Di bawah Bill of Guarantee MSC, kebebasan Internet dijamin oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu sebarang usaha untuk menyekat kebebasan bersuara di Internet dilihat sebagai usaha sia-sia.

Kebebasan media

Abdullah juga sering dikritik oleh penulis blog Malaysia dan media luar negara kerana sentiasa mendiamkan diri dengan kritikan terhadapnya. Dia telah bersumpah untuk bertindak keras ke atas penunjuk-penunjuk perasaan yang pro-demokrasi dan memberi sokongannya kepada polis untuk menghapuskan pertunjukan perasaan dan menangkap peserta dalam pertunjukan perasaan. [3] Ini telah diikuti oleh suatu siri larangan media berkenaan beberapa perhimpunan pro-demokrasi bersifat aman seperti Perhimpunan Bersih 2007 yang diadakan pada 10 November 2007. Media tempatan yang dikawal oleh kerajaan Malaysia tidak menyiarkan hal itu (dengan penuh) sedangkan ia telah diperihalkan oleh media luar negara seperti Al-Jazeera, Reuters, BBC dan CNN. Abdullah kemudian menyatakan bahawa dia pantang dicabar. [4]

Pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008

Abdullah Badawi sekali lagi dikritik mengamalkan tabiat menipu oleh ahli-ahli politik pembangkang, setelah beliau mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008. [5] Ini kerana beliau telah berjanji pada 12 Februari 2008 bahawa pembubaran Parlimen tidak akan berlaku pada hari keesokan. [6]

Walau bagaimanapun, ketika ditanya wartawan mengapa Parlimen dibubarkan pada 13 Februari sedangkan beliau pada hari sebelumnya menafikan akan membubarkan Parlimen, Abdullah Badawi mengatakan beliau tidak boleh memberi sebarang bayangan mengenai pembubaran parlimen [7].

Fakta bercelaru tentang daya saing Malaysia

Pada 28 Januari 2008, Abdullah Badawi mendakwa bahawa Malaysia di tangga kelapan dunia dalam konteks daya saing negara berdasarkan Laporan Daya Saing Dunia 2007 (World Competitiveness Yearbook 2007). Dakwaan itu hanya betul di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi 20 juta penduduk ke-atas, manakala keseluruhannya Malaysia hanya menduduki tempat ke-23 di dalam dunia. [8]

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Abdullah Badawi sengaja memutarbelitkan hakikat dan keputusan Abdullah untuk mengeluarkan fakta yang bercelaru ini adalah usaha yang sangat lemah untuk menyembunyikan fakta bahawa asas-asas ekonomi Malaysia telah gagal bergerak di bawah pemerintahannya. Menurut Anwar, daya saing Malaysia semakin merosot dan dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia dulunya setaraf dengan Singapura dan Hong Kong, Malaysia sekarang di kedudukan ke-23 di seluruh dunia, manakala Singapura di kedudukan kedua dan Hong Kong ketiga.

Anwar berpendapat bahawa Malaysia memerlukan kepimpinan yang lebih berwibawa sekiranya Malaysia ingin memperkasakan ekonominya sebagai gagasan ekonomi bertaraf global.[9]

Usul undi tidak percaya

Pada 14 Julai 2008, ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai 14 Anggota Parlimen dari PKR, PAS dan DAP mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Usul itu "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan." Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan peraturan 18(7).[6]



























































































Garis masa

 

Blog Shahirah Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal